| 100 rumah rosak dilanda ribut |
|
KOTA BHARU: Sekurang-kurangnya 100 buah rumah penduduk sekitar Pasir Puteh dan Bachok di sini, mengalami kerosakan akibat kejadian ribut dan hujan air batu yang melanda kawasan kampung dua jajahan terbabit, petang kelmarin. Dalam kejadian hujan lebat dan angin kencang selama kira-kira 30 minit mulai jam 5 petang itu, antara kawasan terjejas teruk termasuk sekitar Selising dan Bukit Jawa di Pasir Puteh serta kampung sekitar Jelawat dan Gunong di Bachok. Selain bumbung rumah milik penduduk dan bangunan awam seperti taman bimbingan kanak-kanak yang diterbangkan angin, banyak pokok turut tumbang dalam kejadian itu hingga menyebabkan bekalan elektrik di kawasan terbabit turut terputus. Pelajar dari Kampung Permatang Sungkai, Ahmad Fazri Rakmi, 19, berkata keluarganya bergegas melarikan diri keluar dari rumah walaupun dalam keadaan hujan lebat apabila pohon durian yang terletak di sebelah rumah mereka tumbang menghempap alang rumah mereka. "Mula-mula hujan kelihatan renyai-renyai saja, sebelum angin kencang melanda sehingga menyebabkan pokok durian sebelah rumah kami tumbang menghempap rumah. Meskipun takut, kami sekeluarga terpaksa keluar menyelamatkan diri kerana bimbang keadaan menjadi lebih buruk lagi," katanya. Rumah yang didiami pasangan Rakmi Ismail, 50, dan isterinya, Naziah Ismail, 49, bersama anak-anak mereka, adalah antara yang paling teruk musnah dalam kejadian itu. |
| Seterusnya > |
|---|




